• Fokus Melakukan Yang Terbaik Pada Hari Ini Tanpa Menunggu Hari Esok

    Assalamu’alaikum , sahabat fillah, Bila kita telusuri sirah para sahabat, kita dapat melihat bahawa hidup mereka sentiasa dalam keadaan tenang dan bahagia, walaupun badai cabaran sentiasa melanda mereka dalam usaha menegakkan agama Allah di muka bumi ini. Agak-agaknya apa rahsia mereka ye?

    Mereka tidak mempunyai kecanggihan teknologi dan kesenangan hidup yang kita kecapi sekarang, tetapi bila dibandingkan kehidupan kita dengan mereka sangat jauh berbeza. Hidup kita kadang-kadang lebih sengsara, derita dan merana walaupun kita memiliki kekayaan, kemajuan dan kemudahan yang tidak dinikmati oleh sahabat.

    Sebenarnya sahabat hidup dalam penuh kesederhanaan. Bagi yang kaya, syukur. Bagi yang miskin sabar. Sifat syukur dan sabarlah kunci utama mereka mengecapi kekayaan hati dan ketenangan hidup di dunia. Mereka benar-benar melaksanakan tuntutan hadis

    Rasulullah SAW yang bermaksud:
    “Sungguh ajaib perihal orang mukmin, sesungguhnya semua urusan mereka adalah kebaikan. Dan keadaan ini tidak ada melainkan kepada orang beriman sahaja. Sekiranya beroleh kurniaan, dia akan bersyukur, maka jadilah kurniaan itu baik untuknya. Manakala, apabila ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu kebaikan untuknya.” (Riwayat Muslim).

    Apa yang saya nak kaitkan di atas adalah para sahabat ‘PENDEK ANGAN-ANGAN’. Mereka hidup dalam lingkungan hari ini.

    Ahli psikologi pernah berkata: “Tugas manusia bukan melihat apa yang terletak jauh dan masih kabur di hadapan, tetapi bertindak dengan apa yang ada dalam genggaman.” 

    Walaupun ahli psikologi itu dari Barat, tetapi sahabat-sahabat sudah mengamalkan prinsip hidup itu sejak sekian lama lagi. Mereka tidak bimbangkan apa yang sudah berlaku pada masa lalu, mereka tidak khuatir apa yang akan terjadi pada masa depan tetapi mereka menggunakan sepenuhnya masa HARI INI seoptimum mungkin.

    Mereka terus fokus dan fokus melakukan yang terbaik pada hari ini tanpa menunggu esoknya. Mereka tidak pernah bertangguh dalam usaha mereka melakar kebaikan dan mereka tidak bertangguh meninggalkan kejahatan walaupun sekecil mana pun kejahatan itu.

    Daripada Ibn Umar r.a. katanya: 
    “Rasulullah SAW telah memegang bahuku lantas berkata “Hendaklah kamu menjadi seorang pedagang di dunia ini atau seorang pengembara..” Ibn Umar r.a. berkata: “Apabila kamu berpetang-petang, janganlah kamu menunggu waktu pagi dan apabila kamu berpagi-pagi maka janganlah kamu menunggu waktu petang dan pergunakanlah masa sihatmu sebelum sakitmu dan masa hidupmu sebelum matimu.”(Riwayat Bukhari)

    Lihat, anda nampak gaya kehidupan mereka. Boleh kita aplikasikan dalam kehidupan seharian kita?

    Semoga kita bisa ambil manfaat dalam tulisan ini, illa liqo wassalamu’alaikum.

    Mohamad Zafranudin
    vian-atzu.blogspot.com
  • 0 komentar:

    Posting Komentar