Fenomena Islamfobia merupakan agenda Barat
bertujuan untuk menghapuskan agama Islam yang dirasakan sebagai cabaran kepada
mereka.
Presiden Gerakan Antarabangsa untuk Dunia
Keadilan, Dr Chandra Muzaffar berkata, bagi menjayakan agenda itu, negara Barat
khususnya akan sentiasa mereka-reka perkara buruk mengenai Islam.
“Islamofobia masih berlaku dan akan berlaku
sampai bila-bila, cuma apa yang membezakan keadaan semasa adalah dari segi
sejarahnya sahaja. Seperti yang kita tahu ia dikatakan berlaku semasa Perang
Salib dan istilah itu dikenali sehingga kini.
“Tetapi kalau kita tengok dalam
keadaan semasa ini ada sekurang-kurangnya dua faktor mengapa istilah itu
diteruskan. Pertamanya mereka jadikan Islam sebagai sasaran kerana bagi tamadun
Barat, kepentingan ekonomi adalah keutamaannya yang melibatkan minyak.
Tambahan pula sebahagian besarnya
minyak yang diimport adalah dari negara Islam, itu adalah antara faktor
penting,” katanya ketika diskusi meja bulat bertajuk Ekstremisme, Keganasan dan
Islam: Ke Arah Pemahaman Isu Lebih Baik anjuran Institut Antarabangsa Kajian
Tinggi Islam Malaysia di sini, semalam.
Katanya, faktor kedua agenda
Islamofobia adalah bagi mencapai cita-cita Barat untuk menguasai dunia.
Sementara itu, mengulas serangan
terhadap akhbar satira Charlie Hebdo yang didakwa melibatkan penyerang beragama
Islam, beliau berkata serangan itu sebagai tindak balas selepas akhbar tersebut
menghina kesucian Islam dalam kartun terbitannya.
“Ini adalah reaksi sikap tidak
bertanggungjawab syarikat penerbitan itu yang mempersendakan Islam.Malangnya
daripada sikap mereka itu mengakibatkan berlakunya kematian yang akhirnya
sekali lagi memburukkan Islam,” kata beliau.
Sementara itu, pensyarah Pusat
Program Asasi, Jabatan Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam
Antarabangsa, Ahmad El-Muhammady berkata, krisis ketidakadilan global terhadap
umat Islam menjadi faktor utama penyumbang wujudnya kumpulan militan
yang bertindak di luar batasan sehingga dijadikan modal oleh Barat untuk
memburukkan imej Islam.
Menurutnya, ada yang menganggap
kumpulan militan sebagai penyelamat.
"Seperti di Iraq,
Afghanistan, Yaman, Palestin, Syria dan lain-lain negara, mereka tiada tempat
untuk membuat laporan (semasa peperangan) dan terpaksa hidup dalam
kesengsaraan.Jadi perasaan marah yang begitu lama dipendam seolah-olah diberi
peluang untuk membalas dendam apabila kumpulan militan Negara Islam (IS)
datang, ramai yang tengok mereka boleh kawal dengan begitu cepat sekali selain
dapat sokongan dari Iraq,” katanya.
Katanya, ia menyebabkan ramai
terpengaruh sehingga ada yang terlibat dengan kumpulan militan itu tanpa
berfikir panjang.
“Ada juga yang terpaksa sokong
kerana terlalu ramai yang sokong IS, jadi mereka ikut sokong. Begitu juga
sehingga di negara kita ada individu yang merasakan mereka terpanggil untuk
turut serta atas nama Islam.Malangnya mereka ini digunakan untuk capai matlamat
tertentu oleh IS sehingga melakukan perbuatan jelas terpesong daripada ajaran Islam,”
ujarnya.
Sementara itu, kata Ahmad, sikap
sesetengah pihak yang sengaja menimbulkan provokasi juga sebenarnya penyumbang
kepada keganasan.
“Mungkin kita di Malaysia ini jika
ada pihak menimbulkan kenyataan provokasi, mereka masih selamat.Tetapi di luar
sana tidak mustahil mereka akan dibalas dengan kekejaman terutamanya
(provokasi) melibatkan kesucian agama,” kata beliau
Mohamad Zafranudin
0 komentar:
Posting Komentar