Assalamualaikum. Hati terasa likat, jiwa terasa pekat, pastinya dek
kerana kesan jahiliyyah yang telah lama berkarat.
Sahabat fillah, Bayangkan kita menghabiskan
sisa-sisa waktu setiap hari dengan melakukan maksiat, tanpa berfikir untuk
bertaubat. Pastinya makhluk yang bernama manusia itu tidak terlepas dari
cengkaman dosa, namun seorang muslim yang sebenar tidak akan jatuh dalam lubang
dosa yang sama.
Sedarlah dan berazamlah bahawa muslim yang sebenar itu ialah
aku dan kamu, kita. Kita adalah muslim yang sebenar yang sudah penat dengan
maksiat dan rindukan pelukan hangat taubat.
Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyantun, yang kasih sayangNya
berpuluh kali ganda tebal dari kasih sayang seorang ibu kepada anaknya. Namun
mengapa kita masih pilih untuk berpaling dan enak dalam pelukan dosa ? Sedarlah
wahai insan, kita tidak kekal lama di dunia, syurga itu kampung kita. Persiapan
yang rapi lagi teliti perlu kita ajari pada diri. Ayuh penuhi Ramadan kali ini
dengan sepenuhnya perhambaan pada Yang Esa.
Di dalam bulan Ramadan itu penuh dengan seribu satu kelebihan,
setiap amalan dilipat kali gandakan pahalanya. Adakah kita ingin menjadi insan
yang kurang bijak dengan melepaskan tawaran hebat ini yang datangnya daripada
Allah SWT ?
Kami menyeru seluruh umat islam dari serata pelusuk muka bumi untuk
sama-sama berebut dalam mengumpul sebanyak mungkin saham akhirat kita.Ayuh kita
kembalikan budaya fastabiqul khairat iaitu berlomba-lomba dalam kebaikan.Mari
kita lepaskan diri daripada sangkar dosa yang mencengkam diri. Ayuh kita
terbang bebas nan tinggi menuju Ilahi.
Hidup kita singkat jangan sia-siakan dengan maksiat. Ahlan ya
Ramadhan !
Semoga bermanfaat,#SalamRamadhan, Wassalamu’alaikum
Sumber : : Sharifah Qurratu
Aini bt Syed Shariffuddin [ Aktivis Pembina Melaka ]
Editor : Farahani MD Noor [ vian-atzu.blogspot.com ]
0 komentar:
Posting Komentar