Assalamu’alaikum,
sahabat fillah...Sesiapapun apabila mereka melihat wanita lain memakai tudung
lebih cantik dan manis, mereka pun hendak memakainya, tanpa mengetahui tentang
ilmunya, mengapa mesti pakai tudung. Ada juga yang terpaksa memakai tudung kerana
desakan keluarga atau suami.
Ada yang mahu menjadikan tudung macam fesyen. Sekejap pakai, sekejap buka.Lantaran itulah nilai orang yang bertudung pada hari ini sudah menurun. Sudah tidak semahal wanita yang bertudung awal-awal dahulu. Hanya wanita yang berpurdah yang belum kelihatan berjalan-jalan di taman bunga atau di tempat-tempat hiburan. Mungkin taraf berpurdah sama dengan wanita yang bertudung dengan wanita yang memakai tudung diperingkat awal dahulu. Sesuatu amalan yang dilakukan kalau bukan atas dasar ilmu dan yakin serta faham apa yang mereka perbuat akan nampak ganjil dan pincang hasilnya. Sesuatu yang di buat bukan dari hati yang ikhlas, walau pun nampak hebat tetapi semuanya kosong. Tiada nilai di sisi Allah.
Wanita
yang pakai tudung selain daripada keinginan untuk menutup aurat, tidak akan
dapat berbohong dengan Allah walaupun di di dunia mereka berjaya membohongi
mata manusia mengatakan mereka juga sudah menutup aurat. Tetapi di akhirat
nanti, niat sebenat dan apa yang ada di dalam hati mereka akan diselongkar dan
di dedahkan oleh Allah di padang Makhsyar di hadapan jutaan umat manusia.
Rasulullah s.a.w pernah ditanya oleh seorang sahabat : " Ya Rasulullah Dengan apakah mencapai keselamatan kelak ?" Jawab Nabi s.a.w : "Jangan menipu Allah." Orang itu bertanya lagi : " Bagaimana menipu Allah ?" Jawab baginda " Yaitu mengerjakan apa yang diperintahkan oleh Allah, tetapi tidak kerana Allah."
Di
samping tiada niat untuk menutup aurat dengan bertudung akan ditolak oleh
Allah, wanita yang berniat untuk menutup aurat dengan tudung tetapi tudungnya
berfesyen sehingga menarik lelaki memandangnya, atau pun tudung yang dipakainya
tidak memenuhi syarat menutup aurat yakni bertudung tetapi masih nampak pangkal
leher, bermakna dia belum lagi sempurna menutup aurat, malah semakin berdosa
kalau dengan memakai tudung yang berfesyen itu menyebabkan lelaki jatuh hati.
Dikala itu tudung bukan menjadi alat untuk menutup aurat, tetapi menjadi alat
untuk berhias. Wanita begini bukan mendapat pahala dengan menutup aurat tetapi
mendapat dosa.
Bahaya
besar kalau beramal bukan kerana ilmu tetapi kerana mengikut masyarakat dan
peredaran zaman. Sementara yang mengamalkan syariat kerena pengaruh sekeliling,
hanya mampu bertahan atau beramal selagi dia berada di dalam suasana begitu.
Tetapi bila dia terkeluar dari kelompok masyarakat, dia sudah tidak mampu
bertahan dan turut hanyut dengan masyarakat di sekitarnya. Ujian yang sedikit
sahaja mampu menggoyangkan imannya. Oleh itu kalau hendak mendapat keredhaan
Allah, maka seseorang itu mestilah berilmu dengan apa yang dilakukannya.
Jesteru itu menuntut ilmu adalah perkara yang utama sebagai penyuluh
ibadah.
Di
samping ada ilmu, amalan yang dilakukan hendaklah diniatkan kerana Allah bukan
kerana yang lain dari itu. Kita mesti bina keyakinan di dalam diri kita dan
mempunyai kefahaman yang mendalam agar kita tidak mudah tergugat apabila datang
ujian, betul di dalam tindakan dan bersabar di dalam apa jua kesusahan.
Renung-renungkanlah wahai wanita yang berada di luar sana. Jangan memakai tudung hanya ingin mengikut fesyen semata-mata...
Semoga Bermamfaat , Wassalamu’alaikum
Farahani Md Noor
0 komentar:
Posting Komentar