Assalamu’alaikum,,
Sahabat fillah alhamdulillah dihari jum’at ini saya ingin berkongsi dengan
sebuah tema sebagai renungan kita dalam menjalani hidup ini “
Sahabat fillah,awan putih berlangitkan sebiru
warna, menambahkan keindahan alam semulajadi. Kecantikan alam yang tiada
taranya menyaksikan pelbagai acara pementasan hidup yang beraneka gaya. Maha
suci Allah yang menciptakan manusia yang berpasangan begitu juga makhluk Allah
yang lain turut memenuhi pelusuk bumi.
Alhamdulillah,
kita masih bernyawa menunaikan segala perintahnya, akur dengan ketentuan illahi
walaupun penuh dengan pancaroba. Seringkali hidup dicabar dan diuji namun terus
berdiri gagah dengan pertolongan Allah SWT.
Mengharungi
hari demi hari membuat kita tidak terlepas dari melakukan dosa. Dosa kecil
mahupun besar terpendam dilubuk hati dan adakalanya membentuk pelbagai rasa.
Pernahkah kita memohon keampunan dariNya? Saya yakin kita sebagai hamba
diberikan naluri untuk mengetahui akan dosa-dosa yang dilakukan walaupun tanpa
sedar.
Adakah kita insaf?
Sekiranya
keinsafan masih menebal pada diri, sebenarnya kita masih lagi menyirami iman
kita dengan baja keampunan dari Allah SWT. Jika tidak, jangan dibiarkan
dosa-dosa itu menjadi sebati dan kekal selamanya pada hati nurani kerana dari
situlah ‘air muka’ kita akan terbentuk dengan perkara-perkara yang sebenarnya
datang dari hati kita sendiri.
Oleh
itu, jagalah hati dan kasihanilah kerana dia juga makhluk Allah seperti kita.
Tugasnya sangat berat untuk mengawal manusia dari melakukan dosa. Kalau hati
kita baik, baiklah kita sebagai khalifah Allah dimuka bumi. Jika tidak, hati
kita akan melakukan sesuatu yang tidak mungkin dijangka.
Tahap iman dalam diri.
Disaat
dan ketika ini, ada dikalangan kita mengatakan bahawa apabila seseorang itu
dipenuhi dengan iman dan taqwa pastinya berpegang teguh dengan agamanya. Mana
mungkin manusia yang bersifat baharu ini tidak akan diuji walaupun hidupnya
diselubungi dengan kemewahan melimpah ruah.
Ada
juga menyatakan yang menutup aurat itu hidupnya akan menjadi kebal dengan nafsu
kerana badannya dilitupi dan tidak akan mudah melakukan dosa berbanding mereka
yang tidak berhijab atau tidak menutup aurat.
Dari
pandangan saya, bukan mudah untuk memelihara iman, kerana iman kita ini ibarat
daun-daun yang berguguran, apabila ia dipukul angin ia akan berterbangan
mengikut arus angin. Sesungguhnya, iman itu tidak bersifat kekal dan sentiasa
berubah-ubah.
Ada
suatu masa kita rasakan hidup ini sangat dekat dengan Allah SWT dan adakalanya
tidak. Itulah manusia yang Allah ciptakan, hatinya sentiasa bermain-main dengan
perasaan. Kadangkala dengan iman kita terasa indah dan lama kelamaan iman itu
semakin hilang dan menjadikan kita manusia yang alpa kepada Allah SWT. Ini
kerana keteguhan kita terhadap iman masih diawang-awangan dan menganggap tiada
kepentingan dalam mengekalkan iman di dalam diri.
Setiap saat diuji.
Tidak
akan senang manusia itu kalau hidup tidak pernah diuji. Sekiranya sentiasa aman
dan bahagia kemungkinan kitaran kehidupan kita ini akan kehilangan sesuatu yang
dikatakan “ujian dan dugaan”.
Ya,
saat kita diuji adakah kita sedar akan ujian diberikan? Manusia sentiasa leka
dengan kesibukan dunia sehingga lupa kepentingan akhirat yang perlu diutamakan.
Apa yang mereka ingat adalah nikmat dunia. Sehingga manusia menjadikan dunia
itu sebagai tongkat untuk berdiri sedangkan yang menjadikan mereka berdiri
dengan gagah itu adalah dari Allah SWT. Biarlah diri kita diuji, Allah mahu
membersihkan kita dari segala kekotoran yang menyelubungi dari segenap sudut
pada anggota badan kita iaitu hati.
Serah diri padaNya.
Saat
menadah tangan pohonlah keampunan kepada Allah, berdoalah dengan penuh
pengharapan agar kita diampunkan dari segala dosa-dosa yang lalu. Biarlah air
mata sepi menjadi saksi tanda kita takut kepadaNya. Beristighfarlah, kerana banyak
hikmah terkandung disebalik makna-makna yang diucapkan.
Yakin
dan percaya dengan kewujudan dosa dan pahala, syurga dan neraka. Jangan lalai
mahupun leka kerana kematian sentiasa menghampiri.
Beriman
kepada Allah SWT adalah satu landasan yang merupakan penjuru disetiap
kehidupan. Walaupun iman tidak boleh diwarisi tapi boleh menjadi benteng dalam
menghadapi pelbagai keresahan hidup.
Berdoalah
kerana dengan doa, Allah akan mendengar segala keluhan kita kerana tuhan tahu
apabila kita melakukan dosa kita akan kembali mengadapNya. Perbaikilah diri
dengan kesalahan serta kesilapan yang kita lakukan. Perelokkan nawaitu kita
untuk kembali bertaubat dan bersujud padaNya.
Sucikan
hati dan rawatlah jiwa dengan ayat-ayat Allah yaitu al-Quran yang merupakan
surat cinta yang diutuskan kepada hamba-hambanya.Cinta
Allah akan kekal dihati, kewujudanNya dapat dirasai, hadirNya bagaikan merentap
sanubari.
Semoga Bermamfaat Jazakallah, wasallamu’alaikum wa ilalliqa
Mohamad Zafranudin
0 komentar:
Posting Komentar