Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan aliran Wahabi tidak sesuai untuk
diamalkan di negara ini yang mengamalkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Pengerusi
Jawatan kuasa Fatwa Kebangsaan, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin
berkata, aliran Wahabi bukan mazhab tetapi satu bentuk gerakan pemikiran agama
yang banyak dipegang oleh ulama-ulama di Arab Saudi mengikuti pendekatan yang
diambil Muhammad bin Abd Wahhab.
"Aliran
tersebut tidak salah untuk diamalkan. Majlis Fatwa memutuskan sedemikian
setelah mengadakan perbincangan mengenai aliran-aliran lain selain Wahabi yang
tidak sesuai diamalkan di negara ini namun tidak sehingga haram," katanya,
semalam.
Mengulas lanjut kata Abdul Shukor berkata, daripada segi mazhab, pengamal
aliran Wahabi lebih hampir dengan mazhab Hambali walaupun daripada beberapa
segi mereka lebih ketat dan keras.
Beliau berkata, pengikut Wahabi lebih cenderung dan mudah mengeluarkan orang
Islam daripada lingkungan agama yang tidak sealiran dengan aliran Wahabi.
Abdul Shukor berkata, apa yang tidak dipersetujui dengan aliran Wahabi apabila ia menjuruskan pengamal aliran itu lebih ekstrem.
“Mereka menganggap apa yang dilakukan oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah bidaah, bukan mengikut sunnah. Mereka juga menolak akidah Asha’irah dan Maturidiyah, malah dengan mengatakan dua akidah ini keluar dari Ahli Sunnah Wal Jamaah. Jadi ini pertikaian yang tidak menguntungkan sesiapa,” katanya.
Ditanya mengenai pengamal aliran ini ditegah untuk menyebarkan kepada orang lain, Abdul Shukor berkata, ia bergantung kepada enakmen negeri masing-masing untuk mencegah penyelewengan tersebut.
“Hak mengeluarkan fatwa adalah hak negeri masing-masing. Contoh seperti apa dilakukan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan yang mengeluarkan fatwa mengharamkan penyebaran Wahabi di negeri itu, sememangnya ia tidak bertentangan.
“Saya fikir, negeri tersebut mengharamkan Wahabi kerana tidak mahu berlaku kacau bilau dalam masyarakat Islam negeri itu,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Shukor berkata, tindakan negeri tersebut juga tidak akan menjejaskan hubungan negara dan Arab Saudi kerana sememangnya itu hak negeri tersebut.
“Jika perkara itu akan menjejaskan hubungan, maknanya tiada hak kepada negeri untuk membuat keputusan sendiri.Malahan Jakim dan Majlis Fatwa Kebangsaan telah membincangkan perkara tersebut lebih awal sebelum isu ini kembali disensasikan,” katanya.
Sumber : Sinar Harian
Mohamad Zafranudin
0 komentar:
Posting Komentar